KHIDMAT Internet sedunia telah terjejas minggu lalu angkara serangan siber yang terbesar dalam sejarah.
Pakar keselamatan bimbang keadaan ini akan merebak dan menjejaskan sistem perbankan dan e-mel.
Menurut satu laporan BBC, serangan siber itu bersumber daripada perbalahan antara kumpulan pembanteras e-mel sampah (spam) bernama Spamhaus dan hos web Belanda, Cyberbunker selepas Spamhaus, sebuah pertubuhan tanpa untung, menghadang pelayan (server) Cyberbunker.
Tindakan Spamhaus itu ditentang keras oleh Cyberbunker, yang menyifatkannya sebagai satu penyalahgunaan kedudukan.
Selama ini, Cyberbunker mengaku ia rela menjadi hos untuk sebarang kandungan siber kecuali bahan lucah kanak-kanak dan kandungan berkaitan pengganasan.
Perbalahan ini telah mencetus serangan Pengedaran Penafian Khidmat (DDoS) ke atas Pelayan Nama Medan (DNS) milik Spamhaus.
DNS ialah khidmat yang menghubungkan nama medan seperti cyberita.asia1.com.sg dengan alamat Protokol Internet (IP) sebenar.
Tanpa khidmat DNS, pengguna Internet tidak akan dapat mengakses laman web yang diingini.
Serangan ini boleh diibaratkan bak kesesakan jalan raya hebat yang menghalang kenderaan daripada bergerak.
Bercakap kepada BBC, ketua eksekutif Spamhaus, Encik Steve Linford, berkata bahawa serangan besar-besar seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia sedang disiasat oleh lima pasukan polis siber serata dunia.
Katanya, serangan ini memuncak pada 300 Gigabait (GB) sesaat, sekitar enam kali ganda daripada yang biasa dialami dalam serangan ke atas bank-bank utama.
Serangan seperti ini berkuasa untuk melumpuhkan prasarana Internet pemerintah, tambahnya.
Namun menurut Encik Linford, pelayan syarikatnya masih mampu menangani serangan-serangan ini dengan bantuan beberapa syarikat lain seperti Google.